arena

Sneijder pilih pasukan 'Pak Arab'

Oleh AFP

DOHA: Wesley Sneijder berkata dia menolak tawaran daripada kelab-kelab lain untuk bermain di Qatar bersama kelab Al Gharafa yang mengumumkan kehadirannya secara rasmi di Doha semalam.

Bekas bintang Ajax, Real Madrid dan Inter Milan itu berkata dia gembira untuk beraksi di Timur Tengah dan tidak sabar bermain semula selepas tempoh beberapa bulan yang mengecewakan bersama kelab Ligue 1 Perancis Nice.

Pemain 33 tahun itu menandatangani kontrak 18 bulan bersama Al Gharafa dan akan membuat penampilan pertamanya seawal Jumaat ini apabila kelabnya bertemu Al Ahli dalam perlawanan liga.

“Secara jujurnya, pilihan saya adalah untuk datang ke sini dan bermain bola sepak,” kata Sneijder. “Terdapat spekulasi mengenai saya akan ke Amerika Syarikat, ke China atau lain-lain tempat, tetapi saya tidak pernah membaca tentang ‘dia akan ke Qatar’.”

Sumber rapat dengan bintang Belanda itu memberitahu, Sneijder turut menerima tawaran daripada kelab-kelab di Mexico dan Brazil.

“Sudah tentu, terdapat banyak tawaran lain dan ia datang dari pelbagai tempat,” kata Sneijder. “Saya rasa dialu-alukan di sini dan saya gembira saya memilih Al Gharafa.

“Saya tidak sabar untuk mula berlatih esok dan membantu pasukan.”

Menurut Sneijder, perpindahannya ke Qatar didorong oleh Anouar Diba yang bermain untuk Al Kharaitiyat, dan dia belum sempat bercakap dengan bekas bintang Barcelona Xavi Hernandez yang kini bersama Al Sadd.

Sneijder akan menyarung jersi nombor 10 dan memakai lilitan kapten kelab berkenaan. Antara bintang lain yang mewakili Al Gharafa adalah pemenang Piala Dunia dari Perancis Marcel Desailly yang berpindah dari Chelsea pada tahun 2004.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 6:48am
d