arena

Rueda kendali Chile

Oleh Reuters

SANTIAGO, Chile: Pengendali dari Colombia Reinaldo Rueda meninggalkan kelab Brazil Flamengo untuk mengambil alih jawatan ketua jurulatih Chile, kata badan induk bola sepak Chile semalam.

Rueda akan menggantikan Juan Antonio Pizzi yang meletak jawatan Oktober lalu selepas juara Copa Amerika 2015 dan 2016 itu gagal layak ke Piala Dunia Russia.

“Kami mengambil masa secukupnya untuk mencari pengganti terbaik bagi pasukan,” kata presiden persekutuan bola sepak Chile Arturo Salah dalam satu kenyataan.

“Jurulatih yang berpengalaman di peringkat antarabangsa, yang pernah layak ke Piala Dunia dan mempunyai kebolehan di dalam sukan ini pada peringkat tertinggi.”

Rueda, 60, sebelum ini mengutip pengalaman di peringkat antarabangsa sebagai pengendali Colombia, Honduras dan Ecuador.

Dia menyertai Flamengo tahun lalu selepas kempen cemerlang bersama Atletico Nacional yang dibimbingnya menjuarai Copa Libertadores pada tahun 2016.

Kontraknya bersama Chile akan berakhir selepas tamat pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 di Qatar dan akan dilanjutkan sekiranya pasukan Amerika Selatan itu layak ke pusingan akhir.

Flamengo berkata Rueda akan digantikan oleh Paulo Cesar Carpegiani, pengendali yang mempunyai sejarah bersama kelab Rio de Janeiro sebagai pemain dan juga jurulatih.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 10:44am
d