arena

Ziyad azam isi slot Sukan Komanwel

Oleh Firdaus Hashim

SELEPAS melakar sejarah muncul sebagai atlet paralimpik pertama menyertai Sukan SEA dan meraih pingat gangsa yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos lalu, Muhammad Ziyad Zolkefli tampil melaungkan keazaman untuk cuba layak bertanding di temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, April ini.

Jelas pemegang rekod dunia acara lontar peluru kategori F20 (masalah pembelajaran) itu, ketiadaan kategorinya dipertandingkan pada Sukan Para Komanwel nanti menyaksikan dia tiada jalan lain dengan perlu bersaing bersama atlet normal lain sekiranya mahu merasai bahang saingan sukan kedua terbesar dunia itu.

Katanya, bagi memastikan misi untuk layak menjadi kenyataan, dia terlebih dahulu harus melepasi syarat kelayakan dengan mencatat lontaran 18 meter (m) ke atas berbanding rekod peribadi terbaiknya 17.29m.

“Saya memang nak bertanding dalam Sukan Para Komanwel tetapi tak boleh sebab kategori saya tidak dipertandingkan kali ini.

“Namun saya masih ada peluang dengan cara bertanding bersama atlet normal dalam acara lontar peluru seperti saya lakukan ketika menyertai Sukan SEA bulan Ogos lalu.

“Perkara pertama sedang saya usahakan sekarang ialah untuk cuba membuat lontaran 18 meter dengan menjadikan Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai Mac nanti sebagai medan ujian.

“Insha Allah, kalau ada rezeki takkan ke mana dan saya akan cuba sebaik mungkin. Tapi kalau tak lepas, tumpuan seterusnya kepada persediaan Sukan Para Asia di Indonesia serta kejohanan lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sepanjang tahun lalu, pencapaian Ziyad amat mengagumkan apabila dia berjaya memenangi pingat emas dan memecahkan rekod dunia miliknya di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pada kejohanan itu, Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.29m, mengatasi rekod lama 16.48m yang dilakukannya di Sukan Olimpik Rio 2016.

Kecemerlangannya diteruskan di saingan Sukan SEA Kuala Lumpur apabila atlet berusia 28 tahun itu meraih pingat gangsa yang menyaksikan dia tewas kepada dua atlet normal Thailand dengan catatan 17.12m.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 1:00pm
d