arena

Shahrel masih dibelenggu kecederaan

Oleh Rodly Fadly

WALAUPUN rasa lega dengan keputusan Shahrel Fikri Md Fauzi kekal bersama PKNP FC, terselit keresahan di hati jurulatih, Abu Bakar Fadzim ekoran kecederaan berpanjangan dialami ayam tambatan itu.

Shahrel yang mengalami kecederaan pangkal paha kiri ketika menyertai latihan bersama skuad kebangsaan pada Oktober lalu belum pulih sepenuhnya dan akan menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN).

Malah Abu Bakar menjangkakan, Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 itu bakal terlepas beberapa perlawanan awal Liga Super musim ini yang akan membuka tirai pada 3 Februari ini.

“Sudah empat bulan dia mengalami kecederaan itu namun belum pulih. Keadaan ini sudah pasti agak membimbangkan kerana Shahrel adalah pemain harapan kami.

“Keputusannya untuk kekal bersama PKNP adalah satu kelegaan tapi jika terus dibelenggu kecederaan sudah pasti menggugat prestasinya sekali gus menjejaskan saingan kami.

“Keputusan positif awal musim sangat penting bagi PKNP yang pertama kali beraksi dalam Liga Super. Kami memerlukan pemain seperti Shahrel, tapi dengan keadaan sekarang, saya jangka dia akan terlepas empat atau lima perlawanan,” katanya.

Jurulatih itu berkata, beliau sudah mengarahkan Shahrel mendapatkan rawatan lanjut serta pemulihan di ISN yang dijangka mengambil masa tiga minggu.

Pada masa sama, Abu Bakar turut menyediakan pelan B dengan merancang mengambil seorang lagi penyerang import bagi digandingkan bersama Yeon Gi Sung dari Korea Selatan dan pemain kebangsaan Kemboja, Keo Sokpheng.

“Sepanjang ketiadaan Shahrel kelak, saya merancang untuk menggunakan tiga import menerajui serangan kami. Bila Shahrel pulih nanti, ia bukan masalah besar kerana dia boleh bermain di pelbagai posisi,” katanya.

Abu Bakar juga sedang menguji pemain import bagi mengemudi benteng pertahanan bersama pemain Latvia, Ritus Krjauklis.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 2:49pm
d