arena

Perlawanan pertama selalunya sukar: Ghani

Oleh Daripada Aziman Rosdi di Changshu

SKUAD juara 2013, Iraq akan turun beraksi dengan misi membenam Malaysia dalam perlawanan pertama Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Changshu, China esok.

Melihat kepada reputasi yang dimiliki skuad kendalian Abdul Ghani Shahad itu, tiada sebab untuk mereka tidak dapat meraih tiga mata dalam aksi pembukaan kumpulan sebelum berdepan Arab Saudi dan Jordan.

Menurut Kapten Iraq, Bashar Resan Bonyan, meskipun perlawanan pertama biasanya sulit buat mana-mana pasukan namun kemenangan amat dicari dalam usaha layak ke suku akhir.

“Perlawanan pertama selalunya sukar, Malaysia pasukan yang bagus dan kami sudah tiba lima hari di China untuk mempersiapkan diri.

“Semua pemain sudah bersedia, Insya-Allah tak ada pemain yang cedera dan kami memerlukan kemenangan untuk rakyat Iraq,” katanya pada sesi latihan rasmi hari ini.

Iraq negara yang masih dilanda konflik, menduduki tempat ketiga dalam edisi terakhir di Qatar dua tahun lalu dan diletakkan selaku pasukan pilihan Kumpulan C di pusingan akhir selepas muncul juara Kumpulan B pada pusingan kelayakan.

Bashar, 21, yang berasal dari Baghdad dan kini mewakili kelab Persepolis percaya, semua pemain sudah bersedia meskipun kehilangan dua tonggak termasuk penjaring terbanyak pusingan kelayakan, Aymen Hussin yang digantung dua perlawanan.

“Kami ada tiga, empat pemain yang bermain dengan skuad kebangsaan Iraq, kami juga pernah beraksi di Sukan Olimpik Brazil, menjuarai Kejohanan AFC dan menduduki tempat ketiga pada 2016. Jadi kami mahu ke final kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 6:31pm
d