arena

Mana buku panduan teknikal?

Oleh Jumiati Rosly

KELEWATAN buku panduan teknikal sukan karate pada Sukan Asia di Indonesia pada Ogos ini memberi kesan terhadap persediaan skuad karate negara secara keseluruhannya, kata Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Vincent CH Chen hari ini.

“Yang pasti ia bukanlah mudah di Jakarta nanti. Pertama sekali kita tidak tahu maklumat mengenai pertandingan sehingga ke hari ini kerana buku panduan teknikal masih belum ada.

“Satu lagi, tuan rumah juga hanya membenarkan negara peserta datang ke venue dua hari sebelum pertandingan. Sekurang-kurangnya berilah masa tiga hari sebelum berlangsung kerana tempoh dua hari tidak cukup apa lagi buat atlet negara Asia yang jauh seperti Arab,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Katanya, tuan rumah juga tidak menjemput negara peserta lain untuk menyertai pra kejohanan bagi menguji venue pertandingan sebaliknya mengadakan pra kejohanan membabitkan atlet Indonesia sahaja.

Namun begitu, Vincent berkata skuad karate masih boleh menguji kemampuan sesama negara Asia apabila menyertai saingan Liga Perdana Persekutuan Karate Dunia (WKF) yang juga menjadi medan mengumpul mata kelayakan ke Olimpik.

Skuad karate negara bercadang menghantar tiga atlet kumite lelaki dan tiga atlet kumite wanita serta menghantar seorang atlet lelaki dan wanita bagi acara kata.

Pada temasya lalu di Incheon, skuad karate negara membawa pulang dua pingat emas dan dua gangsa.

Vincent yang juga Pengurus Besar Persekutuan Karate Asia (AKF) berkata tahun ini adalah lebih sibuk bagi skuad karate negara kerana memandangkan selain Sukan Asia, atlet karate negara perlu menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Banyak yang perlu difikirkan oleh jurulatih dalam merancang program bagi menghadapi Sukan Asia dan kelayakan Olimpik yang menjadi sasaran kami,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 7:08pm
d