arena

Mancini sedia ganti Ventura

Oleh AFP

MILAN: Jurulatih Zenit Saint-Petersburg, Roberto Mancini hari ini berkata beliau bersedia untuk mengambil tanggungjawab sebagai pengendali skuad kebangsaan Itali yang kini masih belum diisi selepas pemecatan Giampiero Ventura.

Selain Mancini, turut dikaitkan akan mengendalikan skuad juara dunia empat kali itu adalah pengurus Chelsea, Antonio Conte dan bekas jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti.

Ventura dipecat pada November lalu selepas gagal membawa Itali ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

Usaha mencari pengganti jadi rumit apabila Presiden Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Carlo Tavecchio turut melepaskan jawatan susulan kegagalan itu.

“Sebelum memilih jurulatih baharu, sepatutnya kita perlu memilih presiden baharu terlebih dulu,” kata Mancini menerusi program bual bicara ‘Tiki Taka’.

“Tetapi sudah pasti saya tidak akan mengetepikan Itali, seperti juga dengan jurulatih lain.”

Bagaimanapun, Ancelotti mengatakan beliau lebih memilih untuk kekal menguruskan kelab manakala Conte yang kini melatih Chelsea pernah mendedahkan beliau merindui dan mahu kembali ke Itali.

“Itali adalah tanah air saya. Saya akan pulang. Saya tidak pasti bila tetapi itulah yang saya mahu,” kata Conte yang pernah membimbing Itali pada 2014 sebelum menyertai Chelsea pada 2016.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 12:53am
d