arena

Valencia, Atletico bergaya mara Piala Raja Sepanyol

Oleh Reuters

BARCELONA: Luciano Vietto meledak hatrik termasuk rembatan padu dari jarak 50 meter untuk membantu Valencia ke suku akhir Piala Raja Sepanyol selepas membelasah Las Palmas 4-0 dan 5-1 secara agregat.

Sebelum itu Atletico Madrid, yang menewaskan Lleida Esportiu 3-0 dan 7-0 secara agregat, turut menemanii Valencia di kelompok lapan terakhir kejohanan.

Vietto, yang dipinjamkan ke Valencia minggu lalu oleh Atletico Madrid selepas lebih setahun tidak menjaringkan gol, membuka jaringan di Mestalla pada minit ke-30.

Penyerang Argentina itu menambah jaringan tiga minit selepas rehat, diikuti jaringan sulung Nemanja Maksimovic untuk kelab sejurus kemudian.

Vietto melengkapkan hatriknya dengan jaringan jarak jauh untuk menewaskan Raul Lizoain di pintu gawang Las Palmas.

Kali terakhir Vietto menjaringkan gol, dia turut mencatat hatrik di mana Sevilla menewaskan Formenta 9-1 dalam kejohanan sama pada Disember 2016.

Sebelum itu di Madrid, Atletico meneruskan rentak cemerlang pada aksi timbal balik untuk menewaskan kelab divisyen tiga Lleida.

Kelab Catalunya itu bagaimanapun berjaya menahan asakan tuan rumah sepanjang babak pertama di mana percubaan Lucas Hernandez terkena tiang dan Diego Costa gagal mengatasi penjaga gol pelawat dalam situasi satu lawan satu.

Bekas penyerang Chelsea itu menebus kesilapannya dengan mengumpan bola kepada Yannick Carrasco pada minit ke-57 dan Kevin Gameiro meledak gol kedua Atletico 17 minit kemudian.

Pemain baru ditandatangani, Vitolo menjaringkan gol pertamanya untuk kelab selepas mengutip bola lorongan Fernando Torres.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 9:18am
d