arena

TSC galas cabaran di Myanmar

Oleh Azlan Muhammad Zain

TEAM Sapura Cycling (TSC) akan menggalas cabaran Malaysia di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) bagi disiplin lebuh raya di Myanmar, bulan depan.

Menurut jurulatih TSC, Mohd Mahadzir Hamad, bagi saingan elit acara lepas beramai-ramai, mereka menyenaraikan tiga pelumba bagi perlumbaan membabitkan jarak kira-kira 180 kilometer.

“Kami menyenaraikan Muhammad Zawawi Azman, Adiq Husainie Othman dan Izzat Hilmi Abdul Halil selepas permohonan untuk mewakili negara diluluskan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Mereka akan bersama seorang lagi pelumba, Nik Azwan Zulkiflie bagi acara itu.

“Sukar untuk saya meletakkan sasaran namun kita yakin mampu memberikan saingan. Persembahan dan pencapaian tahun lalu termasuk ada pelumba yang menaiki podium dalam perlumbaan berstatus 2.2 dalam Jelajah Asia memberikan keyakinan untuk kita menghantar mereka ke Myanmar,” jelas bekas pelumba negara itu.

Kelibat Zawawi yang cemerlang musim lalu pada Jelajah Malaysia dan Tour de Selangor pastinya menjadi taruhan utama selain dibantu pelumba berpengalaman, Adiq Husainie yang pernah dinobat pemenang kategori pelumba terbaik Asia di Le Tour de Langkawi (LTdL) beberapa tahun lalu.

Jelasnya, TSC sudah menjalani latihan selama empat minggu sebagai persiapan awal menghadapi ACC itu.

“Kami bermula awal tahun ini. Sehingga kini perkembangan dan prestasi pelumba berjalan seperti dirancang. Mereka terlebih dulu akan menyertai Tour de Indonesia pada hujung bulan ini sebelum ke ACC,” tambahnya.

Selain acara lepas beramai-ramai elit, pelumba TSC turut diberikan kepercayaan menggalas cabaran bagi kategori Bawah 23 (lepas beramai-ramai dan ujian masa individu) selain beberapa pelumba lain yang terdiri daripada ahli gabungan PKBM.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 12:58pm
d