arena

Rekod 4x100m bakal pecah lagi

Oleh Firdaus Hashim

BEKAS Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad percaya kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara mampu memecahkan rekod kebangsaan sekali lagi seperti yang dilakukan tahun lalu.

Menurutnya, catatan 39.27 saat (s) yang dilakukan di Sukan SEA, Ogos lalu membuktikan negara memiliki antara kuartet terpantas yang boleh disandarkan harapan dalam mana-mana kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Katanya, pendedahan demi pendedahan harus diberikan kepada rangkaian itu bagi mematangkan mereka.

“Ada sesuatu yang istimewa dan mengujakan saya dalam kem olahraga negara iaitu kuartet 4x100m. Perasaan saya amat kuat mengatakan kita sudah ada kuartet yang bagus dan mampu menggegar.

“Saya harap KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) akan memberi perhatian serius kepada kuartet berkenaan,” katanya yang pernah memenangi pingat emas berganda dalam acara 100m dan 200m di Sukan SEA 2003 di Vietnam.

Pada Julai lalu, kuartet yang dibarisi Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan melakar kejutan apabila memperbaharui rekod kebangsaan dengan mencatatkan 39.62s.

Catatan itu sekali gus meleburkan rekod lama 39.67s berusia 13 bulan milik gandingan Jonathan, Mohd Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy yang dicipta pada Sukan SEA Singapura 2015.

Namun, menariknya rekod berkenaan hanya mampu bertahan selama 29 hari apabila Haiqal, Badrul Hisham, dan Nixson Kennedy memecahkannya sekali lagi pada Sukan Sea, Ogos lalu.

Bagaimanapun, Khairul Hafiz Jantan tidak beraksi ekoran kecederaan.

“Keserasian antara mereka sudah sempurna, cuma tinggal pendedahan saja. Jika kuartet ini terus didedahkan, saya yakin mereka akan tampil lebih laju lagi.

“Asalkan gandingan mereka tidak dipecahkan, tidak mustahil mereka mampu mencabar kuartet Thailand serta Jepun dan China di Sukan Asia di Indonesia nanti,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 2:31pm
d