arena

Skuad dodgeball sasar tiga emas

Oleh Jumiati Rosly

SKUAD negara meletak sasaran tinggi untuk menyapu bersih tiga pingat emas pada Piala Dunia Dodgeball 2018 di New York, Ogos depan.

Memenangi tiga emas kategori lelaki, wanita dan campuran pada Kejohanan Asia Pasifik tahun lalu, skuad negara memperoleh tiket automatik melayakkan diri ke Piala Dunia di Madison Square Garden pada 3 dan 4 Ogos depan.

Jurulatih pasukan campuran negara yang juga kapten skuad lelaki, Muhamad Heidy Mohd Yusoff berkata, perkara itu tidak mustahil selepas beraksi cemerlang sekali gus mengejutkan negara lain dengan menyapu bersih tiga emas pada Kejohanan Asia Pasifik di Kuala Lumpur, Oktober lalu.

“England mendominasi lebih 10 tahun dalam sukan ini. Pada Piala Dunia 2016 di Manchester, pasukan lelaki negara tewas tipis kepada mereka di final untuk muncul naib juara.

“Tahun ini, kami menjalani latihan dengan tahap berbeza dan berharap dapat mengejutkan negara lain dengan memenangi tiga kategori,” katanya ditemui selepas majlis makan anjuran Kenny Rogers Roasters sekali gus meraikan pasukan dodgeball negara di sini hari ini.

Pada edisi sulung Piala Dunia 2016, England memenangi emas kategori lelaki dan campuran sementara Australia mengungguli kategori wanita.

“Skuad wanita negara yakin dapat menewaskan Australia pada Piala Dunia kali ini apatah lagi selepas membelasah mereka 9-3 pada final Kejohanan Asia Pasifik. Ini antara bukti kejayaan hasil usaha keras kami,” katanya.

Terdahulu, Pengurus Pemasaran Kanan Berjaya Roasters (M) Sdn Bhd, Thila Chandran berkata, skuad dodgeball dijemput untuk meraikan kejayaan pasukan itu memenangi tiga emas Kejohanan Asia Pasifik tahun lalu.

“Kami meraikan sukan secara keseluruhannya kerana mahu mempromosikan gaya hidup sihat dan dodgeball juga dijemput kerana mahu memberi kesedaran terhadap orang ramai mengenai pencapaian mereka,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 6:22pm
d