arena

Lukaku 'berubah' angkara voodoo

Oleh Reuters

LONDON: Pemegang saham terbesar Everton, Farhad Moshiri menyatakan bekas penyerang kelab itu Romelu Lukaku menolak tawaran lumayan untuk kekal di Merseyside berikutan ‘mesej voodoo’ yang disampaikan oleh ibu pemain itu.

Prestasi hebat pemain berusia 24 tahun itu menarik minat kelab utama England selepas pemain Belgium itu menjaringkan 25 gol dalam 37 aksi liga musim lalu.

Lukaku pada mulanya dijangka kembali ke bekas kelabnya Chelsea tetapi pemain itu sebaliknya menyertai Manchester United Julai lalu dan Moshiri berkata, Everton menawarkan segala-galanya yang termampu untuk mengikat ayam tambatan mereka.

“Saya membuang masa selama dua musim cuba mengikat Romelu,” kata Moshiri ketika mesyuarat agung tahunan Everton hari ini.

“Pada musim panas pertama, saya berusaha selama tiga bulan dan kami berjaya mengikatnya untuk setahun lagi.

“Musim lalu kami menawarkan kontrak yang lebih baik berbanding Chelsea dan dia tidak mahu berbuat demikian. Jika saya beritahu anda apa yang kami tawarkan, anda takkan percaya. Ejennya sendiri pergi ke Finch Farm untuk menandatangani kontrak.

“Kemudian sesuatu berlaku ketika mesyuarat itu. Romelu menghubungi ibunya dan dia memberitahu dalam perjalanan ke Afrika dan bertemu pengamal voodoo yang mengarahkannya supaya menyertai Chelsea.

“Apa yang boleh anda lakukan? Dia pergi ke Los Angeles dan tidak kembali, mindanya kosong.”

Lukaku muncul penjaring terbanyak United musim ini dengan 10 gol dalam 21 perlawanan liga, membantu pasukan kendalian Jose Mourinho berada di tangga kedua liga.

Everton turut gagal mengikat pemain tengah Ross Barkley di Goodison Park apabila pemain England itu meninggalkan Merseyside untuk berpindah ke Chelsea minggu lalu. -

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 7:35pm
d