arena

PKNP akui skuad belum sempurna

Oleh Attirmidzie Rahman

PERBADANAN Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC masih memerlukan 30 peratus bagi membentuk skuad mantap untuk bersaing dalam Liga Super musim ini.

Ketua jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim berkata, pasukannya masih menguji beberapa pemain termasuk import menerusi perlawanan pramusim bagi menyesuaikan diri dengan tempo liga bola sepak elit negara.

“Pasukan sedang menguji beberapa pemain termasuk import dalam siri perlawanan persahabatan termasuk dengan Kelantan malam ini (malam tadi) dan boleh dikatakan 70 peratus lengkap setakat ini.

“Pemain didedahkan dengan tempo Liga Super dan saya berharap ini adalah langkah permulaan positif bagi kami memulakan perjuangan musim ini,” katanya ketika ditemui selepas pasukannya mengikat Kelantan 0-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Mengulas mengenai perlawanan terbabit, Abu Bakar berkata, ia bermanfaat kepada anak buahnya dalam menyesuaikan diri dengan suasana dan tekanan di gelanggang lawan.

“Kelantan pasukan hebat dengan pemain berpengalaman selain sudah melengkapkan kuota import.

“Jadi, bagus buat pemain saya merasai tekanan itu dan boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan.

“Bagi perlawanan pramusim akan datang, pasukan akan berdepan Kedah dan mengakhirinya dengan menentang MISC-MIFA pada 22 Januari sebelum aksi sebenar,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 1:07pm
d