arena

Baha'Faisal mimpi ngeri skuad negara

Oleh Daripada Aziman Rosdi di Changshu

KELIBAT penyerang Jordan, Baha’ Faisal Mohamad pasti akan menjadi igauan ngeri buat skuad negara apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan dalam saingan Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Changshu, China Sabtu ini.

Meskipun sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dalam aksi pertama dengan Arab Saudi semalam, pemain berusia 22 tahun itu meledak dua gol menerusi kemahiran individunya.

Persembahan Baha’ Faisal itu mendapat pujian jurulatihnya, Iain Richard Brunskill yang mengharapkan dia memperagakan prestasi lebih baik dalam misi membenam Malaysia di Stadium Changshu untuk mencari tempat ke suku akhir.

“Prestasinya cukup hebat (Baha’ Faisal), sebagai kapten dia memimpin pasukan dengan baik. Dia memberi tekanan kepada pemain lawan dan mempamerkan ketajaman penyudahnya ketika gol pertama manakala gol kedua menyerlahkan kehebatannya secara individu.

“Kami memang menjangkakan prestasinya seperti ini kerana dia sudah bermain di peringkat tinggi bersama skuad senior,” katanya dalam sidang media, semalam.

Di sebalik persembahan hebat Baha’ Faisal, Brunskill tidak dapat menafikan kekecewaan pasukannya apabila mensia-siakan peluang meraih kemenangan dengan membenarkan Arab Saudi bangkit mengikat kedudukan selepas ketinggalan 0-2.

Brunskill pengendali kelahiran England percaya anak buahnya akan segera melupakan kekecewaan itu apabila turun menentang Malaysia yang dibelasah Iraq 4-1 pada aksi pertama semalam.

“Pemain kecewa tapi kami akan segera lupakan keputusan perlawanan ini untuk bersedia berdepan Malaysia. Malaysia tewas dengan Iraq dan pastinya mereka mahukan mata dalam perlawanan itu nanti, jadi ia bukan perlawanan mudah,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 3:57pm
d