arena

'Belajarlah daripada kekalahan'

Oleh Daripada Aziman Rosdi di Changshu

PENGURUS skuad negara, Datuk Yusoff Mahadi berharap pemain dapat belajar sesuatu daripada kekalahan besar 1-4 kepada Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Changshu, semalam.

Beliau berkata, kekalahan itu seharusnya dijadikan iktibar untuk anak buah Datuk Ong Kim Swee kerana mereka perlu bangkit sebelum berdepan Jordan Sabtu ini dan Arab Saudi pada Selasa untuk layak ke suku akhir.

“Keputusan semalam kita harap akan menjadi pengajaran berguna kepada pasukan supaya bangkit.

“Apapun, saya melihat perlawanan itu, pemain menunjukkan kesungguhan dan ada jiwa Malaysia di dalam perlawanan itu. Cuma, kita juga perlu realistik bahawa Iraq bukanlah calang-calang pasukan.

“Kita tengok semua pemain berada di kelas berbeza daripada kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di Sekolah Tinggi Changshu, hari ini.

Malaysia kini terperosok di tangga terbawah kumpulan tanpa sebarang mata dengan Iraq mendahului dua lagi pencabar Jordan dan Arab Saudi yang berkongsi satu mata.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, perubahan mungkin dilakukan Kim Swee untuk memberikan tentangan kepada Jordan.

“Kalau kita lihat, pemain kita sudah berani menguasai bola, bergerak ke depan untuk menyerang. Kita harus sedar, kita tak boleh mengharapkan peningkatan besar sekali gus, tapi saya percaya pemain akan terus meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Kita harap mereka akan menampilkan permainan berbeza ketika menentang Jordan,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 6:27pm
d