arena

Elak terus jadi 'lubuk'

Oleh Komentar Aziman Rosdi

RAMAI juga yang melatah apabila skuad negara tewas 1-4 kepada Iraq dalam aksi pertama Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Changshu, China semalam.

Memang agak mengecewakan jika melihat kepada jumlah gol yang dilepaskan oleh anak buah Datuk Ong Kim Swee seperti tak setimpal dengan tempoh latihan lebih sebulan, tapi kita kena lihat semula di mana kedudukan bola sepak kita yang sebenar.

Iraq kita tahu sentiasa konsisten dalam kejohanan itu apabila muncul juara edisi pertama pada 2013 dan tempat ketiga 2016.

Di peringkat senior juga, mereka pasukan hebat malah bukan tandingan Harimau Malaya.

Mereka bermain corak tiki-taka ala Barcelona ketika menewaskan Malaysia semalam biarpun jurulatihnya Abdul Ghani Shahad mengakui mereka hanya mengadakan latihan biasa dengan satu aksi persahabatan sebelum kejohanan bermula.

Pasukan dari negara konflik ini perlu diakui berada dalam kelas tersendiri, namun jika kita lihat kepada persembahan pemain negara, jurang tidak begitu ketara.

Jika dua kesilapan pemain sendiri tidak berlaku, mungkin Malaysia hanya kalah 2-1 atau juga seri 2-2 andai jaringan Syazwan Andik yang kelihatan sudah melepasi garisan gol, dikira oleh pengadil Uzbekistan, Valentin Kovalenko.

Tapi itu cerita mungkin, hakikatnya skuad negara tetap tewas.

Jika dilihat dalam perlawanan itu, hanya Matthew Davies, Safawi Rasid dan Nor Azam Azih dalam tahap lebih baik manakala pemain lain perlu memiliki lebih keyakinan ketika menguasai bola dan tidak terlalu menghormati lawan.

Ini pentas Asia pertama pemain negara, tapi pemain muda seperti Akhyar Abdul Rashid, R Kogileswaran yang masuk sebagai pemain gantian semalam harus diberikan peluang dalam perlawanan seterusnya menentang Jordan, Sabtu ini dan Arab Saudi pada Selasa.

Kita mengharapkan pemain akan lebih berdisiplin dan kekal fokus andai mahu mencuri mata dalam baki perlawanan Kumpulan C biarpun kini dua pasukan lawan itu melihat Malaysia sebagai ‘lubuk’ mendapat mata.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 9:52pm
d