arena

Valencia ikat Coquelin empat tahun

Oleh AFP

MADRID: Pemain tengah Arsenal, Francis Coquelin menyertai Valencia menerusi perjanjian empat tahun semalam, umum kelab La Liga Sepanyol itu.

“Valencia mencapai kata persetujuan dengan Arsenal bagi perpindahan Francis Coquelin, yang akan menjadi pemain kelab hitam putih ini hingga 30 Jun 2022,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

Pemain Perancis berusia 26 tahun itu berpindah ke Sepanyol dengan bayaran yang tidak didedahkan dengan klausa tebus kontrak 80 juta euro (RM383 juta) disertakan dalam kontrak barunya.

“Saya gembira, ia satu cabaran baru buat saya, saya memulakan satu kehidupan baru tapi saya amat teruja,” Coquelin memberitahu laman web Valencia, menyatakan dia sudah bercakap dengan jurulatih Marcelino Garcia Toral.

“Saya bercakap dengannya dalam telefon, kami mempunyai hubungan baik, perbualan bagus, jadi saya amat gembira berada di sini hari ini,” kata Coquelin.

Coquelin menyertai Arsenal pada 2008 dan melakukan 160 penampilan bersama kelab itu. Kepulangan Jack Wilshere ke pasukan Arsenal mengehadkan aksi Coquelin kepada hanya satu penampilan Liga Perdana Inggeris musim ini. Dia dikaitkan dengan West Ham dan Crystal Palace selain Valencia.

Selepas mengetepikan Coquelin daripada pasukan Arsenal ketika seri dengan Chelsea pada separuh akhir pertama Piala Liga kelmarin, pengurus Arsene Wenger mengesahkan: “Dia berpindah ke Valencia. Dia tidak mendapat banyak peluang bersama kami musim ini. Dia mempunyai peluang dan saya membenarkannya pergi.”

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 6:35am
d