arena

Mina sarung jersi Barca

Oleh AFP

MADRID: Barcelona melengkapkan minggu sibuk dalam dan luar padang dengan kunjungan ke Real Sociedad, gelanggang pendahulu liga Sepanyol itu tidak melakar kemenangan dalam La Liga sejak 2007.

Philippe Coutinho melengkapkan perpindahan 160 juta euro (RM765 juta) dari Liverpool Isnin lalu dalam perpindahan ketiga termahal dalam sejarah, walaupun kecederaan betis akan menghalang pemain Brazil itu daripada melakukan kemunculan pertama Ahad ini.

Barca melengkapkan satu lagi perjanjian semalam buat pertahanan tengah Colombia, Yerry Mina, pemain tinggi lampai berusia 23 tahun yang menyertai kelab itu untuk lima tahun dari Palmeiras bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Javier Mascherano yang berpindah ke China.

Skuad kendalian Ernesto Valverde mara ke suku akhir Piala Raja Sepanyol dengan Lionel Messi menjaringkan dua gol ketika menang besar 5-0 ke atas Celta Vigo di Nou Camp, awal pagi tadi.

Barca kekal tanpa kalah ketika musim ini sudah separuh jalan dan berkelebihan sembilan mata di depan pencabar terdekat Atletico Madrid manakala juara bertahan Real Madrid, 16 mata di belakang.

Walaupun menang 1-0 pada saingan Piala Raja Sepanyol hasil penalti Neymar musim lalu, Barca bergelut di Anoeta sebelum ini dengan kemenangan dalam liga hadir ketika diterajui Frank Rijkaard pada Mei 2007.

Lima kemenangan daripada enam perlawanan pula meletakkan Atletico dalam pemburuan gelaran namun skuad Diego Simeone juga berdepan kunjungan penuh muslihat esok di Eibar, yang kembali memungut 19 mata daripada keseluruhan 21 sejak pertengahan November yang melonjakkan mereka ke tangga ketujuh.

“Ipurua tempat yang sukar. Kami sentiasa mendapat tiga mata tapi ia tempat yang sukar. Kami tidak boleh terlalu yakin,” kata pemain tengah Atletico, Saul Niguez, yang dijangka kembali selepas tidak bermain ketika menang 2-0 mengatasi Getafe kerana penggantungan.

“Babak pertama musim ini positif. Kami melalui kesukaran: stadium baharu, beberapa perlawanan awal bermain di luar, kami tidak boleh membeli pemain tapi kemudian pasukan bertambah baik.

“Kami akan bermain pada babak kedua musim ini dengan penuh kesungguhan.”

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 11:42am
d