arena

Ramadhan tak sabar nanti peluang

Oleh Attirmidzie Rahman

PENJAGA gol Kelantan, Ramadhan Hamid mengimpikan untuk mendapat lebih peluang beraksi bagi menggalas tanggungjawab menjaga pintu gawang pasukan itu musim ini.

Biarpun mengetahui tugas itu diberikan kepada Khairul Fahmi Che Mat selaku penjaga utama namun bagi Ramadhan, dia menganggap ia satu persaingan sihat.

“Saya tak tetapkan untuk berada dalam kesebelasan utama musim baru nanti tapi saya hanya menginginkan peluang untuk beraksi walaupun dalam satu dua perlawanan.

“Setakat ini Kelantan bermula baik sepanjang perlawanan pramusim dan selepas ini saya bersedia jika terus diberi tanggungjawab untuk menjaga pintu gawang pasukan.

“Bagi saya siapa main tidak kisah tapi yang penting jika peluang diberi oleh jurulatih, pemain perlu tunjukkan kesungguhan untuk membantu kejayaan pasukan,” katanya.

Pemain berusia 24 tahun itu melakukan 15 penampilan musim lalu.

“Musim 2017 saya beraksi sebanyak 15 kali dan harapnya dapat beraksi lebih kerap lagi musim ini.

“Selain itu harapan saya semoga dapat peluang beraksi di Bukit Jalil dalam Piala Boost SportsFix kerana ia satu pengalaman berguna dalam membantu pasukan bersiap sedia menjelang sepak mula Liga Super musim ini,” katanya.

Selain Khairul Fahmi dan Ramadhan, penjaga gol berpengalaman Shahrizan Ismail turut tersenarai dalam skuad Kijang Merah musim ini.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 12:01pm
d