arena

Akhyar sedia gembur Jordan

Oleh Daripada Aziman Rosdi di Changshu

PENYERANG muda negara, Akhyar Rashid (gambar) bersedia menggalas tugas menggempur kubu Jordan pada aksi kedua Kumpulan C Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di Stadium Changshu, esok.

Pemain lincah berusia 18 tahun itu mungkin menjadi taruhan pengendali, Datuk Ong Kim Swee selepas N Thanabalan mengalami kecederaan hamstring ketika tewas 1-4 kepada Iraq dalam perlawanan pembukaan kelmarin.

Biarpun hanya masuk sebagai pemain gantian, kehadiran Akhyar memberi impak kepada permainan skuad negara apabila dia banyak melakukan larian serta mencipta peluang Safawi Rasid menjaringkan gol pada minit ke-79.

“Perlawanan kelmarin saya masuk selama 30 minit, rasa kurang puas hati sebab masuk pun rentak permainan sudah laju, cuaca sejuk memang sukar bernafas dan lambat dapat rentak. Tapi dari segi permainan semua OK cuma kena kurangkan kesilapan.

“Untuk perlawanan esok menentang Jordan, saya harap dapat bermain dalam kesebelasan utama sebab Thanabalan cedera jadi ada kelebihan untuk saya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun ia bukan tugas mudah berdepan Jordan yang berkongsi satu mata apabila seri 2-2 dengan Arab Saudi dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C.

Jordan, yang menduduki tempat ketiga pada edisi pertama 2013 dilihat lawan setara seperti bekas juara Iraq dan bagi Akhyar, mereka perlu melakukan sesuatu jika mahu mencipta kejutan.

“Saingan sama macam Iraq, dari segi fizikal memang kami kalah, cuma kami kena gerakkan bola, bantu pasukan serta kurangkan kesilapan sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 5:49pm
d