arena

Ilham teruja berdepan Iceland

Oleh Syafiq Aznan

PEMAIN import baharu Selangor, Ilham Udin Armaiyn teruja selepas dipanggil membarisi skuad Pilihan Indonesia menentang Iceland dalam aksi persahabatan di Sleman, esok.

Bekas tonggak Bhayangkara FC yang membawa pasukan itu muncul juara Liga 1 musim lalu menyifatkan peluang beraksi menentang Iceland yang mencipta kejutan menempah slot ke Kejohanan Eropah 2016 dan Piala Dunia 2018 itu diyakini mampu menguji kemampuannya.

“Saya lihat ia sebagai satu peluang keemasan untuk kami beradu tenaga dengan pasukan yang memiliki kualiti yang baik.

“Saya akan berusaha memberikan yang terbaik dan pengalaman ini sudah pasti dapat menjadi pemangkin untuk permulaan musim yang positif buat karier saya bersama Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain pemain berusia 21 tahun itu, seorang lagi rakan sepasukannya, Evan Dimas turut dipanggil Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi memperkuat skuad Pilihan Indonesia bertemu pasukan yang menduduki ranking ke-22 dunia itu dengan aksi akan dilangsungkan di Stadium Maguwoharjo.

Meskipun baru sahaja menyertai latihan Selangor minggu lalu, dua tonggak muda terbabit diberi pelepasan oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) seperti yang dipersetujui bersama PSSI sebelum ini dan dijangka akan kembali ke Malaysia, Ahad ini.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 5:56pm
d