arena

Sukar cari pengganti Zhuliang

Oleh Fadhli Ishak

PROGRAM Podium masih mencari jurulatih skuad terjun negara bagi menggantikan Yang Zhuliang namun kekosongan itu dijangka sukar diisi dalam masa terdekat ini.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham berkata perkara itu timbul berikutan tidak mudah untuk mencari jurulatih berkelas dunia yang boleh mengendalikan skuad terjun negara.

“Program Podium bersifat terbuka dan dinamik di mana ada atlet yang akan masuk dan ada atlet yang akan keluar, kata Newenham pada sidang media di Bukit Jalil, hari ini.

“Kami sentiasa menjalankan penilaian ke atas program ini dalam tempoh enam bulan sekali dan bagi skuad terjun, penilaian akan dilakukan selepas Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia.

“Namun, tidak ramai yang memiliki kemampuan untuk mengendalikan skuad terjun negara dan tidak ramai juga yang boleh mengambil tawaran untuk mengisi kekosongan itu.

“Bukan hanya daripada negara asal mereka, ia mungkin daripada mana-mana negara yang berjaya mencatatkan kejayaan dalam sukan terjun. Pilihan kami sentiasa terbuka.”

Pada masa sama, Newenham mengakui dia gembira dengan kombinasi jurulatih sementara skuad terjun negara, Zhang Yukun yang akan dibantu oleh jurulatih yang baharu dilantik, Christian Brooker.

“Dengan mengambil kira jurulatih berkelas dunia yang ada, kami gembira dengan apa yang kami miliki setakat ini. Saya berpendapat kita memiliki formula kemenangan daripada Yukun dan juga Brooker.

“Satu perkembangan yang baik dengan menjadikan Yukun sebagai ketua jurulatih sementara kerana kami mahu mengekalkan rentak positif seperti sebelum ini dan membawa masuk Brooker untuk penggunaan sains sukan dengan lebih kerap.

“Ia adalah keputusan secara kolektif yang dibuat bersama Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM),” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 7:52pm
d