arena

Pelancaran jersi baru JDT meriah

Oleh Rizar Mohd Noor

WALAUPUN hujan renyai, ia tidak menghalang lebih 1,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) hadir memeriahkan pelancaran jersi baharu pasukan itu yang diadakan di Dataran Bandaraya, sebentar tadi.

Presiden JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkenan melancarkan jersi yang akan dipakai oleh JDT dan JDT II pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Turut dilancar jersi yang akan digunakan JDT III yang akan beraksi dalam saingan Piala Presiden dan JDT IV (Piala Belia).

Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodridgues berkata, jersi baharu JDT itu dibahagikan beberapa segmen iaitu warna biru untuk aksi di gelanggang sendiri, merah (tempat lawan) manakala putih (alternatif).

“Kami berbesar hati menaja pasukan yang memiliki falsafah yang cukup jelas dalam memacu kejayaan yang lebih gemilang. Nike gembira dapat menjadi rakan kongsi kepada kelab yang memiliki rekod terbaik di Malaysia,” kata Rodridgues.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ, Datuk Ismail Karim dan Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Fahmy Yahya.

Jersi baharu yang dilancarkan itu turut dijual di seluruh daerah dan harganya ialah RM215 sehelai dan jersi alternatif (RM179).

Skuad kendalian Ulisses Morais akan menggunakan jersi baharu itu pada aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang naib juara Liga Thai 1, Muangthong United FC pada 23 Januari ini.

Ketika ini, skuad Harimau Selatan sedang menjalani latihan dan aksi persahabatan pramusim di Bangkok, Thailand.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 10:20pm
d