arena

Faizal kecewa gagal tewaskan Roslan

Oleh Faizul Azlan Razak

KEKECEWAAN jelas terpancar pada wajah penyerang sensasi Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari selepas gagal membantu pasukannya meraih kejuaraan Piala Sumbangsih selepas tewas 4-5 menerusi pukulan ‘shoot-out’ kepada juara bertahan, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), petang tadi.

Penyerang kebangsaan itu gagal menewaskan penjaga gol berpengalaman, Roslan Jamaluddin dalam penentuan pukulan ‘shoot-out’ selepas kedua pasukan terikat 2-2 dalam masa permainan sebenar.

Sebelum itu, penyerang berusia 27 tahun itu cemerlang meledak gol selepas pasukannya ketinggalan 0-2 menerusi pukulan sudut penalti menewaskan bekas penjaga gol kebangsaan pada minit ke-44.

“Kami sudah memberikan yang terbaik untuk memenangi perlawanan ini hingga berjaya bangkit mengikat kedudukan 2-2 dan kejuaraan terpaksa ditentukan menerusi pukulan ‘shoot-out’.

“Bagi saya, dalam pukulan ‘shoot-out’ bergantung kepada nasib dan kegagalan saya menyempurnakan kerana Roslan lebih berpengalaman,” katanya ditemui selepas perlawanan itu.

Faizal berkata, sepanjang lima musim menyarung jersi THT, Piala Sumbangsih satu-satunya trofi yang masih belum dimenangi.

“Sekalipun dua piala terlepas, namun ia tidak melemahkan moral sebaliknya akan fokus untuk aksi perlawanan liga selepas ini,” katanya.

Sementara itu, pengendali KLHC, Lim Chiow Chuan berkata sekalipun berjaya mempertahankan piala, namun anak buahnya tidak bermain dengan corak permainan sebenar mereka.

Bekas penolong jurulatih kebangsaan itu berkata, pasukannya memiliki kelebihan dua gol namun anak buahnya bergelut untuk mempertahankan sehingga THT berjaya menyamakan kedudukan.

“Saya kurang berpuas hati dengan persembahan pemain yang melepaskan peluang memenangi perlawanan dengan kelebihan jaringan 2-0. Jadi, kita akan perbaiki kesilapan ini dalam perlawanan liga menentang TNB, Ahad ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 11:14pm
d