arena

PKBM tak letak sasaran di ACC

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak meletakkan sebarang sasaran kepada barisan pelumba negara yang menggalas cabaran pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) bagi disiplin lebuh raya bulan depan.

Jelas Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab, seramai 17 pelumba disenaraikan bersama 12 pegawai bagi menyertai kejohanan di Nay Pyi Taw, Myanmar itu.

“Senarai muktamad sudah dihantar kepada penganjur semalam. Kami tidak menetapkan sebarang sasaran namun berharap mereka mampu menghadirkan prestasi terbaik pada perlumbaan taraf Asia ini.

“Penyertaan pelumba terdiri daripada ahli gabungan PKBM dan kelab. Mereka memohon dan kami tidak mempunyai masalah membenarkannya. Jadi mereka adalah gabungan pelumba dari Terengganu, Selangor, Perak, Team Sapura Cycling (TSC) dan Junior Cycling Malaysia (JCM),” jelasnya.

Tiga pelumba TSC akan bersama pemenang emas acara ujian masa berpasukan Sukan SEA, Nik Azwan Zulkiflie beraksi dalam saingan elit lepas beramai-ramai.

Manakala pelumba berpengalaman, Fauzan Lutfi disenaraikan dalam ujian masa individu selain Norhasmat Abdul Aziz bagi kategori masters (40-44 tahun).

PKBM turut menghantar empat pelumba wanita beraksi dalam kategori B-23 bagi acara lepas beramai-ramai dan ujian masa individu diketuai pelumba kebangsaan Nur Aisyah Zubir.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 2:16am
d