arena

Mantapkan skil

Oleh Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor, P Maniam optimis dua bintang import barunya, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn bakal tampil dengan aksi yang lebih memukau selepas berpeluang menguji Iceland dalam aksi persahabatan di Indonesia, hari ini.

Jelas bekas jurulatih Air Asia FC itu, kesempatan untuk menentang pasukan yang berada pada kelas tersendiri dalam aksi antarabangsa sudah pasti dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka sekali gus membolehkan persembahan mereka menjadi bertambah mantap.

“Saya mahukan mereka supaya dapat mempelajari sesuatu daripada aksi bertemu Iceland nanti kerana tidak mudah untuk mendapat peluang menentang pasukan yang berjaya mara ke saingan Piala Dunia 2018.

“Saya yakin tahap keyakinan mereka akan bertambah baik dan untuk kembali menyertai pasukan dengan keyakinan yang begitu tinggi, sudah pasti situasi itu bukan sahaja membantu persembahan mereka tetapi turut membantu Selangor.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu berfikiran terlalu negatif dan mengharapkan mereka dapat kembali tanpa sebarang kecederaan selepas perlawanan terbabit. Mereka tidak lama di sana dan akan menyertai sesi latihan Isnin ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ilham dan rakan sepasukannya di Selangor, Evan Dimas disenaraikan untuk membarisi skuad Pilihan Indonesia bagi pertembungan menentang Iceland yang dijangka turut membariskan pemain terbaiknya dalam aksi persahabatan di Stadium Maguwoharjo, Sleman, hari ini.

Pada masa sama, Maniam mengakui anak buahnya masih memerlukan masa untuk mencipta keserasian yang lebih baik selepas pasukan itu akhirnya memiliki skuad lengkap susulan ketibaan dua pemain muda Indonesia itu serta seorang lagi pertahanan import, Willian Pacheco, minggu lalu.

“Jika dinilai berdasarkan persembahan bertemu Terengganu FC (TFCII) di mana kita menurunkan semua pemain import, kita dapat lihat kombinasi yang tidak berapa menjadi memandangkan tiga pemain import itu baru saja menyertai sesi latihan.

“Namun ada beberapa perkara positif yang ditunjukkan kerana mereka adalah pemain yang memiliki kualiti. Bagaimanapun, mereka masih memerlukan masa supaya benar-benar serasi bersama pasukan sebelum mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M),” katanya.

Musim ini menyaksikan skuad Merah Kuning menggunakan empat pemain import dan selain Dimas, Ilham serta Pacheco, mereka turut memiliki penyerang kelahiran Sepanyol, Rufino Segovia yang dikekalkan daripada musim lalu.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 2:29am
d