arena

Van Persie bersama Feyenoord semula

Oleh AFP

THE HAGUE: Penyerang Belanda dan penjaring terbanyak Robin van Persie dijangka pulang ke negara asalnya untuk menyertai kelab masa kecilnya Feyenoord, lapor media Belanda semalam.

“Bukan semuanya sudah diselesaikan tapi nampaknya ia menuju ke arah yang tepat,” kata seorang pegawai kelab itu.

Van Persie dijangka menjalani pemeriksaan perubatan pada hujung minggu ini, jelas media Belanda.

Pemain berusia 34 tahun bekas kapten Arsenal dan bintang Manchester United itu masih mempunyai kontrak bersama kelab gergasi Turki, Fenerbahce.

Dia dipanggil semula ke skuad kebangsaan Belanda Ogos lalu sekalipun dia tidak menyarung jersi Belanda sejak 2015.

Namun dia mengalami kecederaan lutut selepas panggilan mengejut bersama skuad kebangsaan yang menyebabkannya tidak bermain dengan kelab Istanbul sejak itu.

Pernah dipilih sebagai pemain muda terbaik Persatuan Bolasepak Belanda, Van Persie kekal menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman negara itu dengan 50 gol dalam 102 penampilan antarabangsa.

Selepas memulakan kariernya bersama Excelsior, dia melakukan penampilan sulung buat Feyenoord pada 2002, sebelum berpindah ke Arsenal pada 2004, menjadi kapten pada musim 2011-12.

Dia berpindah ke Manchester United pada Ogos 2012 dengan bayaran lebih £27 juta (RM147 juta). Dia berpindah ke Fenerbahce pada Julai 2015.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 5:14am
d