arena

Ribery masih berbisa

Oleh AFP

BERLIN: Franck Ribery membuktikan kenapa Bayern Munich patut menyambung kontraknya selepas pemain berusia 34 tahun itu menjaringkan gol menakjubkan ketika menang 3-1 di Bayer Leverkusen, sebentar tadi.

Kemenangan di stadium lawan itu - kali pertama buat Bayern di Leverkusen sejak 2013 - membantu mereka melonjak 14 mata di depan dan berada di landasan baik merangkul kejuaraan Bundesliga keenam berturut-turut apabila liga Jerman bersambung selepas rehat musim sejuk.

Kedua-dua Ribery dan pemain sayap veteran Bayern, Arjen Robben, 34, tamat kontrak Jun depan dan mereka berharap ditawarkan sambungan kontrak dalam masa terdekat.

“Saya harap dapat sambung, sasaran saya untuk kekal di Munich selama mana boleh dan berseronok dengan penyokong dan pasukan,” jawab Ribery apabila ditanya mengenai kontrak baru.

“Sering kali seronok menjaringkan gol,” katanya selepas menyumbat gol pertamanya musim ini.

“Sukar untuk menang di Leverkusen, tapi kami bermain bagus di sini, sekalipun kami perlu lebih banyak menggerakkan bola.”

Ribery, yang sudah menghabiskan sedekad di Bayern, mengimbau kembali zaman mudanya dengan merobek benteng Leverkusen sebelum merembat masuk gol kedua Bayern yang menakjubkan.

Javi Martinez memberikan Bayern gol awal manakala gol Ribery pada babak kedua menjadikan kedudukan 2-0.

Kevin Volland membalas satu goal buat tuan rumah namun pemain Bayern, James Rodriguez menyempurnakan sepakan percuma lewat perlawanan.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 10:29am
d