arena

Saddier dan Paisley kongsi slot pedahulu

Oleh AFP

JOHANNESBURG: Adrien Saddier dari Perancis melakar rekod lapangan sembilan bawah par 63 awal pagi tadi untuk berkongsi sebagai pendahulu bersama Chris Paisley dari England selepas separuh saingan Terbuka Afrika Selatan.

Saddier dan Paisley, kedua-duanya menghuni ranking di luar kelompok 250 terbaik dunia, mengumpul 131, empat pukulan di depan pemain Afrika Selatan, Jacques Kruyswijk di Kelab Golf Glendower.

Antara pencabar ketinggalan satu pukulan lagi di belakang adalah pendahulu bersama pusingan pertama, Branden Grace dari Afrika Selatan dan Chase Koepka dari Amerika Syarikat.

Saddier, pemain berusia 25 tahun yang merakam kejayaan tunggal profesional pada sirkit tahap dua Cabaran Eropah dua tahun lalu, meraih satu eagle dan tujuh birdie untuk berada dalam kelompok pencabar kejuaraan.

Tiga pukulan di belakang selepas pusingan pertama, dia melengkapkan sembilan lubang pertama dengan birdie-eagle-birdie selepas turut membenam birdie pada lubang kedua.

Selepas satu lagi birdie pada lubang ke-13, pemain Perancis itu meraih tiga birdie berturut-turut dari lubang ke-15 untuk merekod catatan terbaik pada kejohanan pertama Jelajah Eropah tahun ini.

“Penamatnya amat mengagumkan selepas melakukan tiga birdie berturut-turut di lubang ke-15, 16 dan 17,” kata Saddier. “Memecahkan rekod ini amat istimewa.

“Saya teruja bagi aksi hujung minggu tapi masih ada 36 lubang perlu dilalui dan saya mesti cuna kekal fokus sepanjang dua pusingan terakhir.”

Saddier menyertai Paisley di puncak pendahulu selepas pemain England itu terdahulu merakam 65 selepas 66 pada pusingan pertama dalam cuaca mendung.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 10:48am
d