arena

Skuad B23 negara kutip mata bermakna

Oleh Daripada Aziman Rosdi di Changshu

SKUAD bawah 23 tahun negara (B-23) kembali menghidupkan peluang untuk mencari tiket ke suku akhir selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Jordan pada perlawanan kedua Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, China hari ini.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee kini mengutip satu mata selepas tumpas 4-1 di tangan juara 2013, Iraq pada aksi pembukaan Rabu lalu dan akan membuat perhitungan terakhir dengan Arab Saudi Selasa ini di Kushan.

Dalam aksi kedua hari ini, Kim Swee melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama apabila menggantikan penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kasim dengan Haziq Nadzli manakala Akhyar Abdul Rashid pula mengambil tempat penyerang N Thanabalan yang mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi menentang Iraq.

Tiada jalan lain buat skuad negara selain meraih mata dalam perlawanan ini untuk menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya namun seperti diduga, Jordan pemenang tempat ketiga edisi 2013 bukan lawan yang mudah.

Jordan yang dibimbing Iain Richard Brunskill mula mengancam kubu negara menerusi percubaan Ahmed Fawzi Mahmoud pada minit ke-10.

Malaysia yang cuba mengimbangi corak permainan pantas pasukan lawan memiliki peluang terbaik pada minit ke-13 tapi rembatan lemah penyerang Jafri Firdaus Chew mudah diselamatkan penjaga gol Rafat Khaldoon Al Rabie.

Namun benteng negara terperangkap dengan bola hantaran jauh pemain Jordan yang meraih gol pertama hasil tolakan Ward Helal Khalid memperdayakan Haziq.

Tetapi semangat anak buah Kim Swee kembali menyala apabila mendapat sepakan penalti selepas Akhyar dijatuhkan oleh Saed Ahmad Salameh. Safawi Rasid, yang menjaringkan gol ketika menentang Iraq, tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk mengikat kedudukan 1-1 di minit ke-43.

Skuad negara terus mempamerkan aksi bertenaga dan memperolehi peluang terbaik menerusi rembatan Safawi yang singgah di tepi jaring manakala percubaan Akhyar terkena tiang gol.

Malaysia seharusnya menamatkan permainan ini dengan kemenangan tetapi tiang sekali lagi menjadi penghalang kepada percubaan Matthew Davies di minit ke-73.

Jordan yang terdesak mahukan kemenangan selepas seri 2-2 dengan Arab Saudi sebelum ini turut mengasak tetapi gagal menembusi benteng skuad negara.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 6:43pm
d