arena

Sepatutnya raih tiga mata: Kim Swee

Oleh Daripada Aziman Rosdi di Changshu

JURULATIH skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee percaya anak buahnya boleh menjadi pencabar terbaik untuk merebut salah satu slot ke suku akhir selepas mempamerkan aksi terpuji ketika seri 1-1 menentang Jordan pada aksi kedua Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu hari ini.

Malah, skuad negara tampak lebih berhak untuk memenangi perlawanan itu apabila beraksi cemerlang pada separuh masa kedua selepas sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-43 memadam kelebihan Jordan hasil jaringan Ward Helal Khalid pada minit ke-16.

Menurut Kim Swee, kebangkitan anak buahnya selepas dibelasah Iraq 4-1 pada perlawanan pembukaan Rabu lalu membuktikan mereka sebenarnya mampu bersaing di pentas Asia ini.

“Pemain mempamerkan karektor yang baik walaupun pada awalnya kami tidak diberikan harapan. Kami seharusnya boleh mencuri tiga mata dalam perlawanan ini dan saya berbangga dengan kesungguhan pemain.

“Memang kami mahu kejutan ini menjadi realiti bukan hanya persembahan baik di dalam padang malah mendapatkan kemenangan. Kita berjaya menyaingi kekuatan pasukan lawan cuma malangnya dua percubaan terbaik kita terkena tiang gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Jordan yang seri 2-2 dengan Arab Saudi pada perlawanan pertama lebih mendominasi permainan, namun skuad negara lebih mengancam pada separuh masa kedua dengan dua percubaan Akhyar Abdul Rashid dan Matthew Davies terkena tiang.

Bagaimanapun Kim Swee mengingatkan anak buahnya supaya kekal fokus untuk mencipta satu kejutan ke atas Arab Saudi pada perlawanan terakhir di Kushan, Selasa ini jika mahu mara ke suku akhir.

“Saya percaya jika kami terus mempamerkan aksi seperti ini apabila menentang Arab Saudi nanti, kita boleh menjadi pencabar untuk layak ke pusingan seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 7:22pm
d