arena

Jun Hao jelmaan Chong Wei?

Oleh Helmi Talkah

PENANTIAN untuk mencari pengganti kepada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mungkin berakhir tidak lama lagi.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan pemain muda negara, Leong Jun Hao sebagai jelmaan kepada Chong Wei apabila membuktikan dia mempunyai watak sebagai pejuang dengan mengesahkan tempat ke final Masters Thailand selepas menewaskan pemain tuan rumah, Kantaphon Wangcharoen 20-22 21-19 21-18 dalam aksi separuh akhir di Bangkok, hari ini.

Lebih manis, kejayaan mara ke final kali ini terhasil daripada kerja keras juara remaja Asia 2017 itu yang memulakan cabaran daripada pusingan kelayakan.

Jun Hao sebelum ini turut melakar kejutan apabila menewaskan pilihan keempat kejohanan dari Hong Kong, Hu Yun dalam aksi suku akhir, semalam.

Pemain berusia 19 tahun itu yang naib juara remaja dunia 2017 akan bertemu pilihan kedua dari Indonesia, Tommy Sugiarto bagi perebutan gelaran juara, esok.

“Saya membuat persiapan yang terbaik sebelum perlawanan hari ini. Saya hanya fikir yang perlawanan ini bukanlah perlawanan mudah dan saya perlu berjuang habis-habisan untuk mencatat kemenangan.

“Penat memang penat apatah lagi saya bermula daripada pusingan kelayakan. Namun, tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan, jadi saya perlu hadapi situasi ini.

“Saya tahu Tommy pemain yang jauh lebih berpengalaman daripada saya, tetapi saya akan buat persiapan terbaik untuk bertemunya esok,” kata Jun Hao ketika dihubungi di Bangkok, hari ini.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mara ke final selepas menewaskan pasangan Thailand, Nipitphon Phuangphuapet-Jongkolphan Kititharakul 21-15, 21-11.

Mereka akan menentang satu lagi beregu campuran Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul dalam aksi final, esok.

Dalam pada itu, cabaran perseorangan profesional lelaki negara, Liew Daren; perseorangan wanita, Sonia Cheah dan S Kisona; beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong; beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei berakhir selepas tewas kepada lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 9:23pm
d