arena

Gaya permainan City jadi tarikan

Oleh AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola percaya gaya permainan pasukannya menjadi daya tarikan dalam bola sepak England selepas dia melalui musim pertama yang sukar bersama Manchester City.

Guardiola gembira melihat cara pendekatan kawalan bola, cara memberi tekanan dan penuh kesungguhan yang memberikannya populariti dalam Liga Perdana sambil memuji Liverpool dan Tottenham Hotspur menerusi gaya permainan mereka.

Bekas bos Barcelona dan Bayern Munich itu menyaksikan gaya permainannya dipersoalkan ketika dia bergelut mencari impak awal di Stadium Etihad, melalui musim tanpa trofi buat kali pertama dalam kariernya musim lalu apabila City berkedudukan ketiga liga.

Perubahan berlaku musim ini amat menakjubkan, dengan City hanya mencicirkan empat mata dalam 22 perlawanan liga ketika mereka masih kekal dalam pemburuan empat trofi.

Selepas gaya permainan pasukannya dikatakan tidak menjadi jika digunakan di England, Guardiola gembira apabila membuktikan kritikan itu salah sambil menambah dia gembira melihat pasukan lain bermain sebegitu.

“Saya sukakannya, kerana lebih daripada seorang pengurus, saya juga adalah peminat. Apabila saya perlu memilih, itu adalah pasukan yang saya suka lihat,” katanya.

“Barcelona, saya suka melihat mereka, pertama kerana saya peminat kelab itu, saya membesar di sana dan paling istimewa kami berada dalam tempoh boleh melihat pemain hebat terutama sekali seorang itu (Lionel Messi).

“Saya gembira apabila di Itali, Napoli juga bermain gaya yang sama. Saya mengenalpasti dengan agak baik bagaimana mereka bermain dan apa yang mereka mahu lakukan terhadap sesuatu perkara.

“Ia sama dengan Tottenham. Tottenham boleh mencicirkan mata, tetapi saya sentiasa melihat permainan mereka dan berkata: ‘Mereka bermain baik’. Anda akan selalu lihat mereka melakukan 20, 25, 27 cubaan ke sasaran. Dan bila anda melihatnya dan akan berkata: Wow.”

Guardiola turut memasukkan Liverpool, lawan City tengah malam nanti dalam senarai pasukan memiliki gaya serangan berkualiti dalam Liga Perdana.

“Saya rasa Liverpool bermain seperti Liverpool yang lepas, dengan semua sejarah mereka,” kata Guardiola.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 7:28am
d