arena

Zainal yakin Harimau Kumbang lebih mantap

Oleh Rodly Fadly

ZAINAL Abidin Hassan yakin beliau kini memiliki skuad lebih mantap berbanding musim lalu untuk meletakkan Pulau Pinang kembali ke posisi sewajarnya.

Zainal yang mengambil alih tugas jurulatih daripada Ashley Westwood pada pertengahan musim lalu, ketika Harimau Kumbang terperosok di dasar liga kini lebih bersedia untuk menunjukkan kemampuan sebenar.

“Ketika saya mengambil alih pasukan ini musim lalu, tidak banyak yang mampu saya lakukan. Begitu pun saya sudah mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan pasukan tapi ternyata sudah terlambat.

“Namun musim ini saya memiliki masa yang mencukupi untuk membentuk pasukan termasuk memilih pemain yang saya mahukan. Saya lebih bersedia serta yakin kami mampu mencapai matlamat untuk kembali ke Liga Super,” katanya.

Menurut Zainal, kehadiran beberapa pemain berpengalaman tempatan serta import yang menepati perancangannya menyuntik keyakinan buatnya.

Pengalaman Norhafiz Zamani Misbah, Raimi Md Noor, Jasazrin Jamaluddin dan Azinee Taib dijangka mampu mengubah wajah Pulau Pinang.

Ia dimantapkan dengan pemain sedia ada Faiz Subri, Azrul Ahmad dan Azidan Sarudin.Keyakinan jurulatih itu bertambah bila Pulau Pinang berjaya mengikat bekas pemain pertahanan import Selangor, Uko Ugah disusuli pula pemain tengah Korea Selatan, Kang Seung Jo bagi menyertai Senna Nyassi yang dikekalkan daripada skuad musim lalu.

“Anda sedia maklum kemampuan serta komitmen Ugo semasa dia mewakili Selangor. Saya memang memerlukan seorang pemain pertahanan yang bersemangat tinggi, lasak serta berjiwa kental sepertinya.

“Seung Jo pula menepati ciri pemain tengah yang kami cari. Dia bijak mengawal permainan, memiliki kemahiran tinggi juga mampu menjaringkan gol. Malah pengalamannya bermain dalam Liga Korea serta skuad remaja kebangsaan negara itu turut memberi kelebihan.

“Kini kami hanya memerlukan penyerang yang tajam di depan pintu gol. Saya akan mencuba seorang pemain dari Brazil dan dua lagi dari Eropah dengan salah seorang akan dipilih untuk mengisi kuota terakhir selewat-lewatnya hujung minggu depan,” ujar Zainal.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 10:50am
d