arena

Nasib baik VAR belum digunakan

Oleh AFP

LONDON: Troy Deeney tidak ragu-ragu menyatakan gol kontroversi saat akhir Watford menentang Southampton mungkin dibatalkan sekiranya video bantuan pengadil (VAR) digunakan di Vicarage Road malam tadi.

Abdoulaye Doucoure memastikan keputusan seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang mana ramai pemerhati menyaksikannya sebagai jelas terkena tangan pada minit akhir.

Pemain tengah Perancis itu menanduk masuk umpanan Deeney ke dalam jaring namun bola itu tidak mengena kepalanya sebaliknya ditolak masuk menggunakan tangannya.

Mungkin boleh dikatakan tindakan Doucoure tidak disengajakan namun pengulas BBC, Martin Keown menyatakan pemain Watford itu “melakukan seperti Maradona” - merujuk kepada gol bantuan tangan bintang legenda itu yang membantu Argentina menyingkirkan England daripada Piala Dunia 1986 dalam laluan pasukan Amerika Selatan itu menjulang trofi.

Bagaimanapun, pengadil Roger East dan penjaga garisan Derek Eaton sama ada terlepas sama sekali aksi Doucore atau gembira membenarkan gol itu.

Minggu lalu menyaksikan VAR diperkenalkan dalam kancah bola sepak Inggeris, dengan penampilan sulung pada pusingan ketiga Piala FA antara Brighton dan Crystal Palace diikuti penampilan kedua pada separuh akhir pertama Piala Liga antara Chelsea dan Arsenal, Rabu lalu.

Bagaimanapun, ia mungkin mengambil masa sebelum tampil dalam Liga Perdana.

“Jika VAR digunakan kami mungkin tidak mendapatnya tapi hari ini kami dapat. Kami bertuah,” kata Deeney.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 12:20pm
d