arena

Selangor gergasi baru badminton

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELANGOR membuktikan mereka mempunyai pemain badminton remaja berkualiti selepas merangkul kejuaraan berganda lelaki dan wanita pada kejohanan sulung Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM apabila memenangi aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Skuad lelaki dan wanita mereka ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya menumpaskan Pulau Pinang 3-0 dan Kedah 3-1.

“Saya berasa gembira apabila kejayaan yang diraih bukan hanya dari skuad lelaki, malah pasukan wanita untuk membuktikan kami mempunyai pemain berkualiti di peringkat remaja,” kata ketua jurulatih Selangor, Danan Jaya.

Jelasnya, mereka bertekad untuk mempertahankan kejuaraan pada edisi kedua kerana misi mereka adalah sentiasa memburu kejayaan.

“Saya gembira semua pemain yang diturunkan hari ini berjaya memberikan aksi terbaik dan tidak mengenal erti kalah walaupun dalam aksi wanita mereka mendapat tentangan sengit Kedah,” kata jurulatih kelahiran Indonesia itu yang sudah enam tahun bersama Selangor.

Skuad lelaki Selangor mengejutkan pilihan utama, Pulau Pinang apabila menang 3-0 dengan mata pertama mereka disumbang pemain skuad remaja dunia 2017, Aidil Sholeh Ali Sadikin menundukkan Low Eu Cong 21-16, 22-20.

Mata kedua diraih gandingan beregu lelaki, Nor Aqmal Abu Hassan-Mohamad Faris Zaim Khalid yang mengalahkan Choong Hon Jian-Lee Ming Ze 18-21, 21-17, 21-18 manakala perseorangan kedua Muhammad Shaqeem Eiman Syahyar mengesahkan kejuaraan selepas menumpaskan Goi Zi Chyan 19-21, 21-17, 21-16.

Pemain yang berjaya muncul juara Liga Remaja Kebangsaan akan mendapat peluang automatik menyertai Akademi Badminton Malaysia.

Juara bagi setiap kategori pula menerima hadiah wang tunai RM20,000, naib juara RM15,000, tempat ketiga RM10,000 dan tempat keempat RM5,000.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 5:46pm
d