arena

Pahila kuatkan jentera TLHT

Oleh Malik Muhamad

PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mendapat suntikan baharu apabila bakal diperkuatkan pemain kebangsaan Jerman, Pahila Arnold dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) musim ini.

Pengurus TLHT, Nik Zarah Nik Abdul Kadir berkata, pemain import berusia 23 tahun kelahiran Berlin itu bakal membuat penampilan pertama bersama pasukan pada awal Februari depan.

“Pahila Arnold sepatutnya tiba lebih awal memandangkan saingan liga akan bermula pada 18 Januari ini, bagaimanapun disebabkan pemain itu menduduki peperiksaan di negaranya menyebabkan dia tidak dapat datang lebih awal.

“Pasukan TLHT hanya mengikat seorang pemain import untuk memperkuatkan lagi pasukan, kami percaya kehadiran penyerang itu mampu memberi impak yang berkesan buat pasukan dalam misi untuk mengekalkan kejuaraan,” ujar Nik Zarah.

Tahun lalu kemunculan sulung skuad yang dibimbing Mohd Asari Abd Aziz itu berjaya mencipta kejutan apabila merekod kejuaraan berganda dengan meraih trofi MWHL dan Piala Vivian May Soars.

Musim ini skuad yang juga dibimbing penolong jurulatih, Muhammad Harun Al Rashid Samri kian bernafsu besar apabila turut membariskan tujuh pemain kebangsaan dan seorang bekas pemain kebangsaan.

“Pemain kebangsaan yang bakal memikul cabaran skuad TLHT terdiri daripada pemain serba boleh, Nur Syafiqah Mohd Zain, Siti Rahmah Othman, Fazilla Sylvester Silin, Norazlin Sumantri, Juliani Mohamad Din, Mas Huzaimah Md Aziz dan kapten kebangsaan Siti Noor Amarina Ruhani.

“Selain itu bekas pemain kebangsaan kelahiran Terengganu, Rabiatul Adawiyah Mohamed dan pemain paling muda dalam skuad berusia 16 tahun, Zahratul Farhana Sofea Md Roslan turut membarisi skuad TLHT tahun ini,” kata Nik Zarah.

Skuad TLHT akan memulakan kempen liga pada 18 Januari ini bertemu pasukan Blue Warriors di Stadium Hoki Tun Razak Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 7:55pm
d