arena

Skuad bowling terus cemerlang

Oleh Fabian Peter

SKUAD bowling negara terus mempamerkan aksi cemerlang di Eropah apabila tiga atletnya iaitu Rafiq Ismail, Sin Li Jane dan Alex Liew layak ke Final Step 3 di Kejohanan Terbuka Brunswick Ballmaster di Helsinki, Finland hari ini.

Terdahulu pada aksi Final Step 2, Rafiq menungguli senarai 36 pemain dengan mengumpul 2,097 jatuhan pin selepas lapan game.

Li Jane, yang menamatkan musim lalu sebagai pemain wanita kedua terbaik Asia, di tangga keempat dengan 1,871 jatuhan pin sementara Alex, di tangga ke-14 dengan 1,805.

Timmy Tan, yang layak secara automatik ke Step 2 selepas menduduki tangga kedua daripada 550 pemain pada pusingan kelayakan, bagaimanapun gagal ke Step 3 apabila hanya mengumpul 1,793 jatuhan pin untuk berada di tangga ke-17.

Bintang veteran Shalin Zulkifli, yang menduduki tangga ketiga di Kejohanan Antarabangsa AIK di Stockholm, Sweden minggu lalu, mengumpul sejumlah 1,662 jatuhan pin untuk berada di tangga ke-32.

Hanya 16 pemain terbaik layak ke Step 3, di mana mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan berdasarkan kedudukan selepas Step 2.

Pemain di ranking 1, 4, 5, 8, 9, 12, 13 dan 16 diletakkan dalam Kumpulan A manakala ranking 2, 3, 6, 7, 10, 11, 14 dan 15 dalam Kumpulan B. Setiap pemain akan bertarung sesama sendiri dalam format round robin.

Selepas tujuh pusingan membabitkan satu game setiap satunya, dua pemain terbaik dari setiap kumpulan mara ke separuh akhir manakala pemenang Kumpulan A akan menentang naib juara Kumpulan B, manakala juara Kumpulan B akan menentang naib juara Kumpulan A.

Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Ahmad Muaz Fishol, Adrian Ang dan Syafiq Ridhwan turut bertanding di Helsinki, namun gagal melepasi pusingan kelayakan.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 10:18pm
d