arena

Barca makin selesa

Oleh AFP

Madrid: Luis Suarez mencuri tumpuan dengan dua gol dan satu umpanan ketika Barcelona bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menang 4-2 di Real Sociedad semalam sekali gus mengekalkan kelebihan sembilan mata di puncak La Liga Sepanyol.

Suarez meledak pada minit ke-50 dan 71, gol pertamanya satu lambungan mengelirukan dari dalam kotak penalti selepas mengumpan kepada Paulinho enam minit sebelum rehat bagi memulakan kebangkitan berikutan gol babak pertama pemain Sociedad, Willian Jose dan Juanmi.

Sepakan percuma menakjubkan Lionel Messi lima minit sebelum tamat melengkapkan kebangkitan itu, yang membantu anak buah Ernesto Valverde mengutip 51 mata, jauh di depan pasukan tangga kedua Atletico Madrid, yang menang 1-0 di Eibar, kelmarin.

“Gol yang kami jaringkan sebelum rehat amat membantu,” kata Valverde. “Kelihatan sumpahan itu masih ada bila kami ketinggalan 0-2 tapi kami menekan dan percaya kami mampu mengubahnya dan mendahului, akhirnya gol hadir juga.”

Kemenangan itu turut melonjakkan Barca 19 mata di depan musuh utama Real Madrid, yang menghuni tangga keempat selepas kalah 0-1 di laman sendiri kepada Villarreal, kelmarin.

Barca hadir pada perlawanan pagi tadi dengan catatan tidak menang di Sociedad sejak 2007 dan selepas 34 minit berlalu, badi itu kelihatan berterusan.

Jose memberikan tuan rumah gol pendahuluan selepas hanya 11 minit apabila dia menanduk masuk hantaran silang Xabi Prieto dan Barca memang patut ketinggalan dua gol 23 minit kemudian.

Juanmi meluru melepasi benteng pelawat untuk menyambut lorongan cantik Seegio Canales dan pemain Sepanyol itu menyaksikan rembatannya terkena Sergi Roberto dan melepasi jangkauan penjaga gol Marc-Andre Ter Stegen.

Suarez menghidupkan peluang menuju penamat babak pertama dan memberikan kelab Catalunya itu harapan dengan hantaran leret yang ditampan masuk Paulinho.

Pemain Uruguay itu kemudiannya menyumbat gol penyamaan sensasi pada minit ke-50, menerima hantaran Messi dan melambungkan bola melepasi penjaga gol Sociedad, Geronimo Rulli sebelum membantu pasukannya mendahului 21 minit kemudian.

Sepakan percuma melencong Messi yang sukar diselamatkan mana-mana penjaga gol, melengkapkan hari menceriakan buat Barca dan pemain Argentina itu, yang mengatasi Gerd Muller untuk muncul penjaring terbanyak dalam sejarah lima liga utama Eropah dengan jaringan ke-366 dalam La Liga.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 1:26am
d