arena

Faizal tak sabar julang Negeri Sembilan

Oleh Mohd Amin Jalil

PERANCANG utama bahagian tengah Negeri Sembilan, Mohd Faizal Abu Bakar (gambar) kini lebih yakin dengan prestasinya selepas lebih sebulan memberikan tumpuan kepada latihan intensif untuk menghadapi saingan Liga Super musim yang bakal membuka tirainya, 3 Februari ini.

Situasi itu membuatkan pemain berpengalaman berusia 27 tahun itu lebih bersedia memainkan peranan terhadap pasukan pada cabaran liga utama musim ini.

Katanya, menerusi kehadiran ramai pemain berpengalaman dalam pasukan kali ini membuatkan dia dapat membentuk gandingan lebih mantap.

“Berbeza musim lalu, kali ini saya mempunyai ramai pemain berpengalaman untuk membentuk gandingan mantap bagi menjana jentera tengah pasukan dengan lebih berkesan.

“Selain bintang Brazil dan Korea Selatan, Flavio Junior dan Kim Do Heon, saya mempunyai gandingan yang baik dengan barisan pemain tengah lain seperti Mohd Fauzan Dzulkifli, Mohd Izuan Salahuddin, Khairul Anwar Shahrudin, Mohd Aizulridzwan Razali, Nizam Roslan dan Mohd Syahid Zaidon.

“Selepas lebih sebulan menjalani latihan, setakat ini, kami sudah dapat membentuk keserasian yang baik antara satu sama lain, walaupun sebahagian daripada mereka itu adalah pemain baru dan pertama kali bersama pasukan,” katanya, hari ini.

Bekas pemain kebangsaan dan Kelantan itu adalah antara beberapa tonggak yang bakal dijadikan sandaran Negeri Sembilan sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain kelahiran Kuala Nerang itu juga yakin skuad Hobin Jang Hobin sudah berada di landasan terbaik untuk memulakan saingan Liga Super, selepas persiapan rapi dibuat termasuk mengadakan aksi persahabatan pramusim di Kemboja, baru-baru ini.

Mohd Faizal sendiri mengakui aksi persahabatan di negara berkenaan memberi impak positif terhadap prestasinya yang sebenar selain menilai kelemahan yang masih ada.

Mengulas mengenai pembatalan penyertaan pada kejohanan Piala Super Asia 2018 di Makassar, Indonesia, pemain tinggi lampai itu yakin ia tidak akan menjejaskan persiapan pasukan.

“Tambahan pula, pihak pengurusan sudah mengatur tiga aksi persahabatan iaitu menentang Kedah, skuad bawah 19 tahun negara (B-19) dan Home United FC dari Singapura,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 12:36pm
d