arena

Nafiizwan pasang impian besar tahun ini

Oleh Devinder Singh

PEMAIN skuasy nombor satu negara, Nafiizwan Adnan memasang impian besar memenangi dua pingat emas di Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Nafiizwan juga berhasrat menamatkan saingan di atas podium pada Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April di mana dia dan pasangannya, Ivan Yuen mempunyai peluang dalam acara beregu lelaki.

Selepas mengakhiri tahun 2017 dengan kecederaan dan isu peribadi yang menyebabkan dia jatuh enam kedudukan dengan kini menduduki ranking 43 dunia, Nafiizwan mengharapkan sinar baharu pada tahun ini.

Ditanya sasarannya tahun ini, Nafiizwan berkata: “Memenangi emas di Sukan Asia dalam acara berpasukan dan individu.”

Katanya, dia mampu melakukannya dengan memaksimumkan kekuatan dan mengurangkan kelemahan sekali gus menjadikan Gold Coast sebagai landasan membina kembali keyakinan.

“Saya mahu melakukan lebih bagus dalam acara individu berbanding Sukan Komanwel lalu dan memperoleh pingat dalam beregu.

“Saya mempunyai pasangan yang bagus (Ivan),” kata Nafiizwa, 31, yang tewas kepada pemain England, Peter Barker pada pusingan ketiga di Glasgow, Scotland empat tahun lalu.

“Sepanjang tiga minggu lalu, kami berlatih bersama sebagai pasangan, membaiki kecergasan dan melakukan analisis video bagi melihat kekuatan dan kelemahan kami.”

Nafiizwan terbabit dalam kemalangan motosikal hingga menyebabkan dia terlepas menyertai Terbuka Malaysia, September lalu sebelum kehilangan abang, Mohd Nafhisham, yang meninggal dunia bulan lalu.

Susulan itu dia menarik diri daripada beraksi di Kejohanan Dunia namun berjaya menutup kalendar 2017 dengan melangkah ke suku akhir Terbuka Pakistan.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 6:35pm
d