arena

'Adik' janji gasak 'abang'

Oleh Naqib Nor Said

ANDAI Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengharapkan simpati dari TNB Thunderbolts dalam pertemuan ketiga Liga Perdana di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, pasukan abang itu harus segera melupakan niat berkenaan.

Ini kerana pasukan adik itu yang menghuni tangga keempat liga dengan tiga mata menerusi kejayaan membenam Maybank 2-1 dalam aksi pertama, menegaskan mereka tidak akan memberi laluan mudah buat anak buah Nor Saiful Zaini Nasruddin.

Jelas tonggak tengah TNB Thunderbolts, Amirul Hamizan Azahar, walaupun sukar untuk mengatasi TNB yang lebih berpengalaman, namun dia dan rakan sepasukan akan sedaya upaya mencuri mata daripada pertembungan adik-abang itu.

“Memang peluang kami tipis kerana TNB diperkuatkan pemain lebih berpengalaman, kami hanya pasukan muda tetapi atas semangat kesukanan yang tinggi kami tidak akan memberi laluan mudah kepada mereka.

“Sebolehnya kami mahu menang dan ia bukannya perkara mustahil dalam dunia hoki moden hari ini,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

TNB yang kini mendahului liga dengan enam mata pastinya dahagakan kemenangan ke atas ‘adik’ mereka itu dalam usaha menjarakkan mata terhadap penghuni tangga kedua Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang bertemu Maybank.

Malah, kemenangan pasti meletakkan skuad kendalian Nor Saiful itu yang kali terakhir menjulang gelaran liga pada edisi 2003 dalam kedudukan terbaik menamatkan badi selama 14 tahun itu selepas dua pasukan pilihan UniKL dan KLHC turut bergelut pada awal musim ini.

Sekalipun TNB Thunderbolts kecundang 2-6 kepada THT dalam aksi Ahad lalu, namun pasukan itu jelas mahu kembali memburu kemenangan dengan Amirul menjelaskan mereka sudah melupakan kekalahan tempoh hari.

“Kami semua sudah bersedia memperkuatkan mental untuk perlawanan akan datang dengan menjadikan kemenangan ke atas Maybank sebagai pencetus semangat,” katanya.

Musim ini, TNB Thunderbolts hanya dibarisi empat pemain berpengalaman iaitu ketua pasukan, Mohd Sallehin Abdul Ghani, Muhamad Azammi Adabi, Muhammad Sabri Mohamed dan Amir Farid Ahmad Fuzi sambil dibantu enam pemain yang beraksi untuk skuad remaja pada saingan Piala Sultan Johor 2017.

Jadual

Esok

TNB mln TNB Thunderbolts, 6 ptg

Maybank mln THT, 8.30 mlm

* Kedua-dua perlawanan di Padang 2, Std Hoki Bukit Jalil

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 7:33pm
d