arena

Jangan cicir mata: Lailin

Oleh Naqib Nor Said

PENGENDALI PKS Uniten-KPT, Lailin Abu Hassan menegaskan skuad kendaliannya tiada alasan tercicir mata apabila bertandang ke utara tanah air bagi menghadapi dua aksi pertama Liga Hoki Wanita Malaysia, minggu ini.

PKS Uniten yang menamatkan saingan di tempat ketiga tahun lalu jelas mahu menebus kecewa itu apabila diperkuatkan dengan lapan pemain kebangsaan musim ini termasuk mengikat empat pemain Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) iaitu Hanis Nadiah Onn, Wan Norfaiezah Md Saiuti, Nuraini Rashid dan Fatin Naimah Zaki.

Justeru, Lailin percaya status lambakan pemain kebangsaan meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan menjelang aksi berdepan Penang Juniors, Khamis ini diikuti pertemuan dengan MSN Kedah, selang dua hari kemudian.

“Dua perlawanan pertama ini amat penting untuk kami menang. Jadi, pemain sepatutnya tidak berdepan masalah kerana kami lebih kuat berbanding dua pasukan ini.

“Saya juga berharap tonggak kebangsaan seperti Fatin Syafika Mahd Sukri, Nuraini dan Raja Norsharina (Raja Shabuddin) dapat memberi impak berkesan,” katanya.

Biarpun dianggap pasukan terkuat dalam kempen 2018, PKS Uniten bagaimanapun harus berwaspada dengan ancaman juara dan naib juara musim lalu iaitu TLHT dan Blue Warriors.

Ia jelas terbukti apabila TLHT yang kehilangan empat pemain kepada PKS Uniten sanggup berbelanja besar mendapatkan penyerang kebangsaan Jerman, Pahila Arnold manakala Blue Warriors mengikat tiga bekas pemain India iaitu Ritu Rani, Narender Kaur (penyerang) dan Reena Rani (tengah).

Kebimbangan itu jelas gagal disembunyikan pengendali berusia 47 tahun itu apabila mengakui pasukannya perlu menggunakan dua aksi pertama ini untuk meningkatkan komunikasi antara pemain dan ketajaman di bahagian serangan.

“Saya melihat pemain saya perlu meningkatkan komunikasi di dalam padang jika tidak mereka akan tercicir mata apabila bertemu pasukan kuat seperti TLHT mahupun Blue Warriors.”

Jadual

Khamis

Blue Warrior mln TLHT

(Std Tun Razak, 5ptg)

Penang Juniors mln PKS Uniten

(Std Hoki USM, 5ptg)

MSN Kedah mln UiTM-KPT

(Std Hoki Kulim, 5ptg)

Sabtu

KL Wipers mln TLHT

(Std Hoki KLHA, 5ptg)

MSN KEdah mln PKS Uniten

(Std Hoki Kulim, 5ptg)

Penang Juniors mln UiTM-KPT

(Std Hoki USM, 5ptg)

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 7:39pm
d