arena

Wenger tuduh Dean tak jujur

Oleh AFP

LONDON: Arsene Wenger menyifatkan pengadil Mike Dean sebagai “memalukan” dan mendakwanya tidak jujur selepas menceroboh bilik persalinan pegawai pertandingan dan mencetuskan pertelagahan susulan aksi penuh kontroversi membabitkan Arsenal dan West Bromwich Albion.

Pengurus Arsenal Wenger jelas kecewa dengan keputusan Dean memberikan penalti lewat kepada West Brom apabila pegawai pertandingan memutuskan tangan Calum Chambers menyentuh bola hantaran Kieran Gibbs sewaktu seri 1-1 di Hawthorns pada 31 Disember lalu.

Pendakwaan disiplin bebas pada 5 Januari memberikan Wenger penggantungan tiga perlawanan dan denda £40,000 (RM218,503) susulan insiden itu namun alasan bertulis panel hanya dikeluarkan hari ini.

Dalam laporan Dean berhubung insiden itu yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Inggeris, beliau menyatakan: “Sewaktu kami memasuki bilik persalinan selepas perlawanan, Wenger berdiri di belakang kami di laluan masuk dan memberitahu pegawai West Brom untuk membenarkannya masuk.

“Beliau dengan agresif menghampiri saya, menuding jari dengan agresif kepada saya dan berkata ‘anda tidak jujur’ beberapa kali.

“Saya membalasnya ‘jadi anda memanggil saya penipu’. Beliau membalasnya ‘Saya tetap dengan apa yang saya katakan, anda tidak jujur’.

“Beliau kemudiannya berkata ‘sudah beberapa kali anda melakukannya terhadap kami, anda sepatutnya menjadi seorang profesional, anda memalukan’. Beliau kemudiannya diiringi keluar pegawai keselamatan West Brom.”

Penolong pengadil, Simon Long dan Ian Hussin serta pegawai keempat Christopher Kavanagh memfailkan laporan yang hampir serupa, apabila ketiga-tiganya menyifatkan tindakan Wenger itu sebagai ‘agresif’.

Panel berkenaan yang dipengerusikan bekas pemain tengah Villa, Everton dan Bolton Gareth Farrelly, menyatakan ini adalah kes kedua seumpamanya membabitkan Wenger dalam tempoh setahun, apabila jurulatih kelahiran Perancis itu digantung empat perlawanan dan denda £25,000 (RM136,521) kerana bertengkar dengan pegawai keempat ketika menang 2-1 ke atas Burnley Januari lalu.

Sepanjang penggantungan itu Wenger akan berada di bangku penonton untuk menyaksikan perlawanan Arsenal menentang Nottingham Forest, Chelsea dan Bournemouth.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 8:23am
d