arena

Krisis keluarga Maradona

Oleh AFP

BUENOS AIRES: Legenda bola sepak Diego Maradona kini berdepan satu lagi episod dalam drama keluarganya apabila wujud hubungan dingin membabitkan anak perempuannya yang akan berkahwin dan isteri barunya.

Dalma Maradona akan mengahwini Andres Caldarelli April depan namun tidak menjemput ibu tirinya.

Media Argentina kini kecoh ingin mengetahui sama ada bintang bola sepak itu yang kini mengendalikan Al Fujairah SC, akan hadir ke majlis itu.

Ketika ditanya mengenai perancanganya di Dubai oleh akhbar Diario Popular, Maradona membalasnya dengan kasar.

“Isteri saya Rocio (Oliva). Jika dia tidak dijemput, saya takkan datang,” katanya.

Pertelagahan keluarga itu sering menjadi tumpuan di Argentina.

“Dia bukan anak pertama dan terakhir yang berkahwin tanpa bapanya di sisi,” kata Maradona, 57, berkata seolah-olah beliau sudah menetapkan pendirian.

Bintang Piala Dunia itu pernah berkahwin dengan Claudia Villafane, yang dianugerahkan dua anak perempuan Dalma dan Giannina. Beliau juga difahamkan mempunyai tiga anak dengan wanita lain.

Oktober lalu Maradona mengecam kedua-dua bakal pengantin itu kerana mengumumkan perkahwinan mereka di Instagram.

“Bagi saya, ia amat menyakitkan. Ada tatu nama Dalma di badan saya kerana saya sayangkan dia. Saya juga sayangkan Giannina begitu juga anak lain. Keputusan ini menyakitkan hati saya namun itu saja pilihan yang ada.”

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 11:28am
d