arena

Pogba makin menyinar

Oleh AFP

LONDON: Jose Mourinho percaya Paul Pogba semakin menyerlahkan dirinya sebagai pemain penting dalam skuad Manchester United selepas pemain tengah itu meneruskan rekod tanpa kalah peribadi dalam Liga Perdana Inggeris kepada 35 perlawanan.

Pemain Perancis itu menyertai United dengan rekod dunia ketika itu £89.3 juta (RM488 juta) dari Juventus pada 2016.

Namun dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri dan bulan lalu bekas pemain United, Paul Scholes mendakwanya “hanya bersiar-siar dalam perlawanan.”

Bagaimanapun kemenangan 3-0 di gelanggang sendiri ke atas Stoke awal pagi semalam, keputusan yang membantu United merapatkan kedudukan kepada 12 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester City, menyaksikan Pogba menjadi pengumpan kepada gol Antonio Valencia dan Anthony Martial dengan hantaran tepat.

Mourinho menyatakan persembahan mantap Pogba menandakan rakan sepasukannya di United sudah boleh menerima gaya permainannya.

“Dia menggerakkan bola dengan amat bagus sekali,” kata Mourinho kepada saluran televisyen kelab itu MUTV.

“Saya fikir dia gembira dengan cara pasukan bermain - amat sesuai dengannya. Dia gembira kerana pasukan ini mengubah profil dan profil itu lebih menjurus kepadanya.”

Pogba kini setaraf dengan dua pemain City, Kevin De Bruyne dan Leroy Sane di puncak carta ‘assist’ Liga Perdana Inggeris musim ini, sesudah membantu mencipta sembilan gol.

Sesudah terlepas aksi kekalahan pasukannya kepada Huddersfield, Chelsea dan City, kini sudah 35 perlawanan berlalu sejak Pogba terbabit dalam kekalahan Liga Perdana - kali terakhir 0-4 menentang Chelsea pada Oktober 2016.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 11:51am
d