arena

Mustaffa puas hati aksi awang import

Oleh Faizul Azlan Razak

MUSTAFFA Kamal Wahab memuji dan berpuas hati dengan kombinasi empat awang importnya bersama pemain tempatan setakat ini.

Andrew Jean-Baptiste, Sebastian Thuriere, Bruno Suzuki dan Akanni-Sunday Wasiu jelas menjadi tonggak kekuatan Terengganu FC II (TFC II) untuk mengharungi saingan Liga Perdana musim ini.

Pengendali TFC II itu mengakui empat importnya cepat menyesuaikan diri dan memahami corak permainan pasukan sekalipun baru beraksi dalam dua perlawanan persahabatan.

“Saya lihat ada peningkatan antara pemain import dan tempatan dalam perlawanan malam ini (malam tadi).

“Malah pemain yang diturunkan malam ini (malam tadi) juga bayangan kesebelasan utama TFC II bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim ini,” katanya yang ditemui selepas perlawanan dengan TFC I pada kejohanan Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini.

Pada perlawanan itu, TFC II yang membuat penampilan sebagai pasukan pembangunan kepada TFC I mengejutkan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim 2-0.

Dua gol TFC II disumbangkan menerusi awang importnya yang juga bekas penyerang UiTM FC musim lalu, Wasiu pada minit ke-73 dan Suzuki menerusi sepakan percuma cantik lima minit kemudian.

Mustaffa berkata, beliau sedar TFC I tidak membariskan skuad terkuat mereka termasuk merehatkan semua pemain import.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 1:29pm
d