arena

Chelsea terdesak

LONDON: Pengurus West Ham United, David Moyes tidak sedar penyerangnya, Andy Carroll diburu Chelsea.

Bagaimanapun, berbanding daripada menjual pemain, bekas pengurus Everton dan Manchester United itu berharap untuk menguatkan skuad kendaliannya pada jendela perpindahan Januari ini.

Media British melaporkan Chelsea terdesak untuk menguatkan jentera serangannya dengan Antonio Conte dikatakan sudah menghubungi West Ham untuk mendapatkan Carroll dengan perpindahan secara kekal.

“Mereka (Chelsea) tidak menghubungi saya, jadi jika mereka menghubungi orang lain, saya tidak mengetahuinya,” kata Moyes kepada wartawan.

“Ketika ini, Andy Carroll adalah pemain dalam skuad saya, saya mahu menambah pemain, bukannya kehilangan mereka.

“Saya tidak tahu mengenainya. Ada begitu banyak khabar angin mengenai pinjaman pemain tetapi setahu saya, ia tidak datang secara rasmi daripada Chelsea. Saya tidak mahu kehilangan seorang pun pemain saya.”

Carroll yang masih memiliki kontrak selama 18 bulan di West Ham ketika ini terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan buku lali.

West Ham terpaksa memerlukan tambahan masa sebelum meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan divisyen tiga, Shrewsbury pada aksi ulangan pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi.

“Ketika ini, Andy berdepan kecederaan buku lali jadi kami berharap perkara ini akan diselesaikan dengan pantas dan dia akan kembali menjalani latihan,” kata Moyes.

“Kami menyenaraikan ramai pemain muda dalam kesebelasan utama malam ini susulan kecederaan pemain dan juga bagi mereka yang tidak boleh bermain. Saya tahu dengan pasukan yang kami turunkan, kami akan menewaskan Shrewsbury.”

West Ham yang ketika ini menghuni tangga ke-11 liga dijadual menanti kunjungan Bournemouth dalam saingan liga Sabtu ini. - REUTERS

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 10:31pm
d