arena

Arsenal tunggu ketibaan Aubameyang

Oleh AFP

BERLIN: Penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang dilaporkan hampir menyertai Arsenal dengan kelab Jerman berkenaan berharap dapat menggantikannya dengan Michy Batshuayi dari Chelsea.

Akhbar Jerman, Bild berkata, Dortmund meletakkan tanda harga sebanyak AS$85.6 juta (RM338.84 juta) ke atas Aubameyang yang juga penjaring gol terbanyak Bundesliga musim lalu dengan 31 gol.

Bild berkata, bapa Aubameyang dan ejennya, Pierre berada di London bagi membincangkan mengenai potensi perpindahan itu dengan Arsenal yang dilaporkan sedia menjual penyerangnya, Alexis Sanchez kepada Manchester United.

Bild turut mendakwa Dortmund ketika ini memerhati dengan minat penyerang Belgium, Batshuayi yang gagal menarik perhatian Antonio Conte di Chelsea selepas hanya membuat dua penampilan dalam 11 aksi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Aubameyang pula dikatakan terdesak untuk meninggalkan Dortmund.

Dia digugurkan daripada pasukannya, Ahad lalu pada aksi menentang Wolfsburg di laman sendiri yang berakhir tanpa jaringan selepas gagal untuk menghadiri mesyuarat pasukan - tindakan disiplin ketiga yang dikenakan oleh Dortmund sejak dua musim lalu.

“Saya tidak tahu apa yang berlegar di kepalanya. Saya tidak mengenalinya lagi,” kata Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc.

“Dia sentiasa bersikap profesional sebelum ini, saya tidak pernah berhadapan dengan pengalaman sikap seperti ini dan ia tidak boleh berterusan seperti ini, ia sesuatu yang tidak boleh diterima.”

Penyerang kelahiran Gabon itu begitupun sudah menjaringkan 21 gol dalam 23 perlawanan di semua kejohanan musim ini tetapi bos Dortmund, Peter Stoeger yang mengambil alih tugas selepas pemecatan Peter Bosz berkata Aubameyang adalah gangguan dalam pasukannya.

Malah, kekal misteri sama ada Stoeger akan menyenaraikan Aubameyang bagi aksi Bundesliga menentang Hertha Berlin di laman lawan, esok.

“Kekecewaan adalah ungkapan yang salah, ia lebih kepada tidak dapat difahami, kerana saya tidak dapat memahami tindak tanduknya, dan bukannya saya seorang saja,” katanya kepada Bild.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 10:36pm
d