arena

Jangan dabik dada: Surendran

Oleh Nazri Abu Bakar

KEMENANGAN 4-1 Melaka United (MU) keatas Pahang pada kejohanan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, atas kesungguhan pemain mencipta kejayaan manis buat skuad terbabit.

Kapten MU, R Surendran berkata, walaupun menang besar pada pertemuan malam tadi, namun ia bukan pentas buat pemain mendabik dada atas keputusan di luar jangkaan terbabit.

Sebaliknya fokus akan terus terarah pada baki aksi perlawanan bertemu Terengganu dan Terengganu FC II dalam misi layak ke final.

“Sebagai pemain, kami pastinya mahu terus membentuk sentuhan lebih garang sepanjang kejohanan walaupun sebenarnya kami tidak terlalu memikirkan keputusan.

“Malah, apa yang penting kami mampu memenuhi perencanaan strategi yang disusun jurulatih Eduardo Almeida, tambahan saingan ini pentas terakhir menjelang perlawanan pertama Liga Super 3 Februari depan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan Almeida yang mudah difahami pemain mendorong aksi lebih berkesan secara berpasukan.

Bagaimanapun, ianya bukan gambaran selesa berdepan skuad tuan rumah selepas ini tambahan mereka memperoleh sokongan peminat setia mereka yang hadir ke stadium.

Dalam perlawanan berkenaan gol MU dicipta R Gopinathan, R Surendran, Mohd Fauzi Roslan dan Nurshamil Abd Ghani sementara jaringan tunggal skuad Tok Gajah menerusi Chan Vathanaka.

Sehubungan itu, dia mengharapkan sentuhan permainan pasukan akan terus lebih mantap sekali gus meningkatkan motivasi mengharungi Liga Malaysia musim ini.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 10:56pm
d